BANGKOK – Seorang datuk berusia 73 tahun di Thailand menjadi tajuk berita utama selepas melakukan perjalanan luar biasa dengan mengayuh basikal lebih 200 kilometer hanya untuk meluangkan masa bersama cucu-cucunya, lapor portal berita MSNews hari ini.
Sekumpulan pemberita tempatan melihat datuk itu mengayuh basikal di bawah panas terik matahari pada waktu petang dan bertanya apa yang dia lakukan.
“Saya berbasikal untuk berjumpa cucu saya,” kata warga emas berkenaan selepas memperkenalkan dirinya.
Tersentuh dengan semangatnya, mereka bertanya sama ada dia lapar dan menjamunya makan tengah hari yang lazat.
Datuk kelahiran Buriram itu makan semangkuk mi ayam bersama air tembikai dan berehat seketika.
Prihatin terhadap kesejahteraannya, kumpulan pemberita itu mencadangkan supaya perkhidmatan penyelamat dihubungi, supaya dia dan basikalnya dibawa pulang dengan menaiki kenderaan.
Pada mulanya, datuk itu menolak dan berkata, destinasinya hanya tinggal 50 kilometer lagi tetapi pihak berkuasa memutuskan untuk membawanya pulang.
Mereka berhati-hati memasukkan basikalnya ke dalam sebuah trak dan memastikan dia pulang dengan selamat.
Sebaik tiba di rumah, lelaki warga emas itu disambut oleh keluarganya yang amat berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana memastikan dia kembali dengan selamat.
Isterinya berkata, dia telah mengayuh basikal sejak 12 Ogos lalu. – AGENSI