PETALING JAYA – Jika dulu kita hanya melihat siri animasi Turbo iaitu watak seekor siput yang memperoleh kuasa pecutan daripada sebuah enjin kereta, kali ini tanpa sedar anak tempatan kita menempa nama juga dengan siput.
CEO Siput atau Aswad yang kini mula dikenali ramai kerana aksi lumba siput sedut yang dianjurkannya sempena sukan Olimpik baru-baru ini telah mencuit hati ramai.
Apa tidaknya, sekali anjurkan perlumbaan haiwan itu, hasil tontonan boleh mencecah jutaan penonton di aplikasi TikToknya.
Terkini, Aswad telah dihadiah sebuah telefon bimbit baharu berjenama Apple iPhone yang disedekah oleh seorang penceramah selebriti, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra.
Jelas Mohammad Yaakub, benda pertama aswad buat bila dapat iPhone baharu itu adalah dengan hubungi ibunya.
“Padan la Allah bagi rezeki melimpah ruah dekat dia kan. mak is everything untuk dia. Semalam masa live perasan la beberapa kali orang telefon ceo siput ni, bila call masuk auto la terganggu live tu sebab kacau talian.
“Dia pula pakai iPhone lama, live sejam dah panas. Jadi kita faham la Aswad buat apa adanya. Terfikir balik baik tumpang pahala, semalam live macam tu pun 1.5 juta viewer,” jelas Mohammad Yaakub.
Tambahnya, dengan bermodalkan RM5,000, jika Aswad setiap hari buat siaran langsung dia juga akan dapat tumpang pahala sebab dia hiburkan orang dengan cara dia tersendiri.
“Dalam hidup nak berjaya ni tak perlu tunggu adanya semua, manfaatkan apa yang ada di tangan sekarang. Doakan ya CEO siput atau Aswad dipermudahkan urusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.