KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah enggan dilabel sebagai ratu mahkamah gara-gara sering menghadirkan diri ke institusi kehakiman tersebut selama tiga tahun berturut-turut.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, menegaskan ramai yang sering menganggu ketenteraman hidupnya sehingga terpaksa membawa kes ke muka pengadilan.
“Saya tak nak (digelar ratu mahkamah). Saya tidak kacau orang tetapi orang yang menganggu saya nak buat macam mana.
“Kalau tak melampau tidak mengapa tetapi kalau melebih terpaksa ambil tindakan,” katanya kepada Kosmo! Online usai prosiding kes saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan.
Dalam masa sama, pelakon drama Hijrah Jannah itu bukanlah seorang mata duitan kerana aktif turun naik mahkamah selain hanya mahu memberi pengajaran kepada orang ramai yang ingin menjatuhkan dirinya.
“Orang semua cakap Puteri Sarah mata duitan. Tidak, kita saman orang bukan nak duit tetapi mahu beri pengajaran supaya jangan buat begitu.
“Saya tidak kacau hidup orang, semua tengok saya sibuk penggambaran, anak-anak dan perniagaan.
“Orang yang kacau saya. Kena tipu, orang manfaatkan saya, berkata buruk tentang saya jadi, kita kena bagi pengajaran biar orang menyesal dan minta maaf supaya tak buat lagi,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Sarah mencuri tumpuan apabila memfailkan beberapa saman seperti saman gangguan orang ketiga dalam rumah tangga terhadap Ira Kazar dan dua ahli keluarganya pada Jun 2022. Kes bagaimanapun selesai di luar mahkamah pada 5 Julai 2023.
Kemudian, Sarah memfailkan dua saman iaitu fitnah dan pecah amanah terhadap bekas pekerjanya yang dikenali sebagai Nazatul Nazira.
Sarah juga membuat tuntutan RM1 juta terhadap defendan sebagai ganti rugi akibat fitnah yang diberikan. Kes bagaimanapun sedang dalam tempoh perbicaraan.
Terkini, Sarah turut mengeluarkan saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan atas tuduhan fitnah di Instagram pada 24 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Sarah menerima permohonan maaf secara terbuka dan kes diselesaikan secara baik di luar mahkamah hari ini. – KOSMO! ONLINE