JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan berjuta-juta ikan kecil melompat ke daratan di sebuah pantai di Priangan Timur, wilayah Jawa Barat, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @faujizamzam, penduduk tempatan dilihat menangkap ikan-ikan tersebut.
Mereka menggunakan baju dan baldi, manakala ada juga yang membawa jaring dan jala. Sebilangan penduduk hanya mengaut ikan-ikan itu dengan tangan mereka.
Menurut Ketua Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (HNSI) Tasikmalaya, Dedi Mulyadi, fenomena itu turut berlaku di kawasan lain seperti pantai Cipatujah.
“Ia bukan berlaku di satu tempat. Kejadian berjuta-juta ikan terbang itu juga berlaku di pantai Cipatujah,” kata Dedi.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 608,900 tontonan. – AGENSI