fbpx

125 cawangan FamiCafé berstatus halal, terus komited sedia produk halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAILA

Sejak beroperasi lapan tahun lalu, rangkaian kedai serbaneka FamilyMart Malaysia terus berkembang untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan pelbagai produk makanan dan minuman hingga kepada barangan penjagaan diri serta kecantikan.

Selain memberikan kualiti produk dan perkhidmatan terbaik, FamilyMart Malaysia juga sangat memberi perhatian berkaitan isu halal bagi setiap barangan yang dijual di kedai serbaneka itu supaya pengguna membelinya tanpa rasa ragu.

Sehubungan itu, tidak hairanlah kedai yang diasaskan berdasarkan konsep konbini dari Jepun semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara ini dan kini sudah mempunyai 408 di Semenanjung Malaysia dengan 125 cawangan FamiCafé telah mendapat sijil halal.

Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Pengurus Halal FamilyMart Malaysia, Suhaila Saghil @ Yusof untuk mengupas lebih lanjut berhubung inisiatif halal yang dilaksanakan oleh kedai serbaneka itu.

SUHAILA (tengah) bertanggungjawab memberi bimbingan kepada kakitangan FamilyMart berkaitan pematuhan halal.

KOSMO!: Ceritakan latar belakang dan pengalaman profesional anda dalam bidang makanan dan minuman terutamanya berkaitan bidang halal?

Suhaila: Saya merupakan pemegang sijil Eksekutif Halal dan Auditor Halal Dalaman yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala pengalaman saya dalam bidang makanan dan minuman lebih 20 tahun.

Bertugas sebagai pengurus halal merupakan fardu kifayah, maka saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin untuk memastikan segala proses berkaitannya dengannya berjalan lancar serta memastikan pengguna Islam boleh mendapat produk halal dari kami.

Jelaskan apakah antara peranan anda sebagai Pengurus Halal FamilyMart Malaysia dan tugas-tugas berkaitan dengannya?

Sebagai pengurus halal, saya merupakan penghubung di antara pihak pengurusan dan Jakim bagi memastikan proses permohonan halal itu lancar serta memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

Saya bertanggungjawab menyelia urusan berkaitan halal dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan cekap dan baik.

Antara tugas-tugas saya adalah memastikan permohonan halal dibuat mengikut jadual ditetapkan, menyelaras audit halal dalaman FamilyMart dan audit bulanan daripada Jakim dan memastikan SOP yang dibangunkan daripada Sistem Jaminan Halal (Halal Assurance System, HAS) dijalankan dengan baik.

Sebenarnya kerja-kerja berkaitan halal di FamilyMart melibatkan semua kakitangan yang mana masing-masing memainkan peranan untuk memastikan produk dan barangan yang dijual di kedai ini tidak mengandungi bahan yang meragukan atau was-was.

BAHAGIAN Halal FamilyMart akan membuat semakan dan tapisan bagi memastikan semua produk yang dijual di FamiCafé tersebut disahkan halal.

Boleh puan terangkan mengenai inisiatif dan perjalanan halal FamilyMart Malaysia yang dilaksanakan dari hari pertama beroperasi di negara ini sehingga kini?

Kami sudah mempunyai niat untuk mendapatkan sijil halal sejak hari pertama FamilyMart Malaysia beroperasi kerana pihak pengurusan amat memahami kepentingan sijil halal kepada pengguna.

Sehubungan itu, kami bekerjasama erat dengan pihak berwibawa seperti Jakim untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal.

Bagi memohon sijil halal, kami perlu memenuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jakim seperti Manual Pensijilan Halal dan HAS.

Oleh itu, kami melaksanakan beberapa inisiatif untuk mendapatkan persijilan halal seperti menubuhkan jawatankuasa halal dalaman, menghentikan penjualan minuman beralkohol di semua premis, membuat semakan dan tapisan bahan mentah dan membangunkan HAS.

Rentetan daripada kerja keras itu kami mendapat pensijilan halal yang pertama untuk FamiCafé di Menara U, Shah Alam pada Mei 2023.

Kongsikan apakah perkara utama yang diberi perhatian untuk mendapatkan dan mengekalkan pensijilan halal?

Kami akan memastikan bahan mentah yang digunakan di FamiCafé adalah halal dan mempunyai pensijilan yang sah. Selain itu, kami juga akan membuat semakan dan tapisan produk yang dijual bagi memastikannya tidak mengandungi bahan ramuan yang meragukan.

Usaha ini penting supaya hanya produk yang benar-benar mematuhi keperluan halal dihidangkan kepada pelanggan dan kami tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan produk yang diragui untuk dijual di kedai FamilyMart Malaysia.

SETIAP produk yang dijual di FamilyMart akan dipantau secara berkala oleh bahagian halal dalaman dan juga pihak Jakim.

Kongsikan apakah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam proses untuk memastikan produk atau ramuan itu benar-benar halal?

Kami perlu melalui beberapa proses untuk menyelesaikan kerja-kerja dalaman sebelum membuat permohonan sijil halal kepada pihak Jakim. Jangka masa yang diperlukan bergantung kepada ketersediaan setiap premis.

Pihak kami juga perlu memastikan bahan mentah atau ramuan yang dibawa masuk ke negara ini adalah halal dan cabaran utama adalah untuk memastikan bekalan itu berterusan.

Selain memastikan logo halal itu diiktiraf oleh Jakim, kami juga perlu menyemak label produk untuk memastikannya selari dengan akta keselamatan makanan.

Apakah perancangan FamilyMart Malaysia dalam usaha pensijilan halal FamiCafé?

Kami mahu pengguna menikmati makanan dan minuman di FamilyMart tanpa rasa ragu-ragu dengan status halal. Oleh itu, semua cawangan FamilyMart akan membuat permohonan halal secara berperingkat.

Untuk makluman, kedua-dua dapur pusat FamilyMart Malaysia telah menerima sijil halal daripada Jakim. Ini bermakna makanan yang disediakan di dapur pusat ini disahkan halal.

Kami juga menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang tahun 2025.

Setakat ini, 125 FamiCafé sudah mendapat sijil halal begitu juga lebih 500 produk yang dijual di FamilyMart mendapat perakuan sijil halal daripada Jakim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI