fbpx

Zakat Kedah, NGO jalin kerjasama santuni mualaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Idris (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Berdaya, Dr. Kamarul Zaman Yusoff di Menara Zakat Alor Setar di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan program bagi membantu golongan mualaf dan asnaf di seluruh negeri ini.

Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Mohd Idris Mohd Yussoff berkata, pihaknya giat menyantuni dan membangunkan lebih 1,000 mualaf yang memeluk Islam di bawah tempoh lima tahun.

“Selain bantuan bank makanan yang disalurkan kepada masjid seluruh negeri dan menerusi sembilan NGO mualaf LZNK, kami juga melantik pendakwah mualaf di setiap daerah untuk menyantuni serta membimbing golongan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat sekumpulan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya) di Menara Zakat Alor Setar, di sini semalam.

Hasil daripada kunjungan hormat tersebut, pihak Berdaya dan LZNK bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama strategik dalam menganjurkan pelbagai program bersama untuk meningkatkan ekonomi, mandiri dan jati diri golongan mualaf di seluruh Kedah.

Berdaya sebelum ini telah bekerjasama dengan LZNK menerusi beberapa program seperti Fiesta Ukhwah Aidilfitri di Masjid Al-Rahmah di Mergong, di sini pada 1 Mei lalu serta Program Agihan Zakat di perkampungan Orang Asli Ulu Legong, Baling pada 2 Ogos lepas.

Mengulas lanjut, kata Mohd Idris, bagi mualaf yang tidak bekerja dan memerlukan pekerjaan, pihaknya menyediakan skim kerjaya dan pengajian yang mana golongan itu akan ditempatkan di masjid atau sekolah agama.

“Di samping berkhidmat, mereka akan mendapat bimbingan pihak masjid atau sekolah agama. Mualaf terlibat juga akan mendapat sagu hati bulanan yang diagihkan oleh LZNK menerusi masjid atau sekolah agama berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, LZNK membuat beberapa perancangan besar lain untuk membantu golongan mualaf dengan pengumumannya akan dibuat secara berkala oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI