fbpx

Tentera Ukraine cuba tembusi wilayah kedua Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG askar Ukraine mengawal sebatang jalan di bandar Russia, Sudzha, 16 Ogos lalu. - AFP

KYIV – Tentera Ukraine cuba menakluki wilayah kedua Russia dengan menyasarkan Belgorod selepas ia berjaya menceroboh Kursk sebelum ini, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Tentera Kyiv menyerang pusat pemeriksaan sempadan ketika askar-askar Moscow bermati-matian cuba mempertahankan tanah air mereka daripada serangan itu, kata beberapa laporan.

Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov berkata, askar Ukraine cuba melepasi sempadan Russia.

“Menurut Kementerian Pertahanan Russia, keadaan di sempadan sukar (pertempuran antara tentera Ukraine dengan Russia) tetapi masih terkawal.

“Tentera kita menjalankan tugas seperti dirancang. Sila kekal bertenang dan percaya hanya kepada sumber maklumat rasmi,” ujarnya.

Gladkov berkata demikian berikutan terdapat banyak khabar angin mengenai serangan Ukraine di platform Telegram.

Sebanyak 300 anggota tentera Kyiv telah bergerak ke arah lintasan sempadan Shebekino dengan 200 lagi ke barat di Nekhoteyevka, demikian menurut saluran Mash di Telegram.

Terdapat laporan berbeza-beza di Telegram dengan saluran lain seperti Shot mendakwa bahawa tiada pertempuran di Shebekino, manakala anggota tentera Ukraine dilaporkan telah diusir di Nekhoteyevka.

Menurut Shot, seramai 60 askar dan lapan kenderaan bersenjata Kyiv bergerak ke sempadan tetapi dihujani dengan tembakan daripada askar-askar Russia.

Bandar Belgorod yang mempunyai populasi 340,000 orang terletak hanya 37.01 kilometer dari pusat pemeriksaan Nekhoteyevka.

Dalam pada itu, Russia melancarkan satu lagi gelombang serangan maut ke atas sebuah hotel di pusat bandar Kryvyi Rih, Ukraine pada lewat Isnin lalu.

Ia menyebabkan dua orang maut, sehari selepas askar Russia melancarkan serangan udara terbesarnya dalam sejarah perang itu yang bermula pada Februari 2022.

Dua orang yang lain dilaporkan mati dalam gelombang serangan dron Moscow di wilayah Zaporizhzhia, tenggara Ukraine.

Pemantau-pemantau Ukraine sebelum ini mengesan pesawat Russia melancarkan peluru berpandu hipersonik, namun tentera udara Kyiv berkata, ia menembak jatuh lima peluru berpandu dan 60 dron.

Sekurang-kurangnya enam orang maut pada Ahad hingga Isnin lalu, manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila lebih separuh daripada wilayah Ukraine diserang oleh dron dan peluru berpandu Russia.

Infrastruktur tenaga elektrik turut terjejas, menyebabkan gangguan bekalan air di kebanyakan bandar di Ukraine.

Satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Russia berkata, senjata ketepatan berasaskan udara dan laut jarak jauh telah digunakan untuk menyerang stesen jana kuasa dan infrastruktur berkaitan di seluruh Ukraine termasuk di Kyiv, Lviv dan wilayah Kharkiv serta Odesa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI