fbpx

Tanah Jerlus: Operasi SAR fokus ‘rungkai’ halangan 15 meter dalam pembetung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi halangan sepanjang 15 meter yang berlaku dalam saluran pembetung di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan satu halangan sepanjang 15 meter di dalam laluan pembetung dari lokasi insiden tanah jerlus sehingga ke Wisma Yakin, di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu dikesan selepas cubaan melepaskan dua tong melalui saluran pembetung di Wisma Yakin dan lokasi kejadian.

Katanya, hanya tong daripada lokasi kejadian didapati tidak sampai ke Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

“Selepas kita melihat dan membaca jarak gerakan kamera kita percaya bahawa terdapat halangan di dalam paip daripada jarak lurang kumbahan di Wisma Yakin kira-kira 7.6 meter.

“Kita mengesan backlog (halangan) lebih kurang anggaran 15 meter panjangnya,” katanya pada sidang akhbar, di lokasi kejadian, hari ini.

Tambah Nor Hisham, pasukan SAR menggunakan dua pendekatan utama iaitu melencongkan sebahagian aliran air dalam paip pembentungan untuk mengurangkan aliran air, malam tadi.

“Kedua, dalam masa sama kita menggunakan dua pam berkapasiti tinggi iaitu 10,000 dan 20,000 liter dan hasilnya, pada pukul 4 pagi tadi kita dapat turunkan paras air ke 0.8 meter daripada 1.5 meter (dalam paip).

“Kemudian kita masukkan kamera dua dari arah atas dan juga bawah. Dari atas kita dapati tidak berlaku pengurangan air yang nyata, hanya 0.3 meter, tetapi diperingkat bawah, kita tengok air turun kepada hampir separuh daripada paip,” katanya.

Kata Nor Hisham, selepas melihat dan membaca jarak gerakan kamera pada jarak 7.6 meter, pihaknya percaya terdapat halangan dalam paip pembentungan daripada lurang kumbahan di Wisma Yakin.

“Ia menyebabkan berlaku ‘backlog’ (halangan) kepada ‘debris’ (sepihan) iaitu pada anggaran kita lebih kurang (sepanjang) 15 meter.

“Berikutan itu, pada pukul 5 petang tadi, kita memulakan usaha untuk merungkaikan ‘backlog’ itu. Sekiranya berjaya, kita akan nampak seluruh permukaan dan malam ini, kita akan ulang kaedah itu,” katanya.

Jelas beliau, usaha mengalihkan halangan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh anggotanya.

Tambahnya, ia membabitkan penggunaan batang besi dan mengikat tali bagi mengelak berlaku aliran deras secara tiba-tiba yang boleh membahayakan keselamatan petugas. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI