KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan objek terhalang antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua di Jalan Masjid India, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, jarak antara kedua-dua lokasi berkenaan terletak kira-kira 80 meter.
Katanya, pengesanan dibuat selepas pemeriksaan dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke lokasi kejadian petang kelmarin selain pengesanan kamera.
“Hasil daripada penghiduan, anjing pengesan melihat seolah terdapat kecenderungan ke arah situ, jadi kita akan berusaha untuk mencari di kawasan berkenaan.
“Selain itu, pengesanan juga didapati menerusi kamera dan ini melibatkan pelbagai kemungkinan sama ada mangsa tersangkut atau sebagainya,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Tambah beliau, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan bagi memudahkan pergerakan penyelam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM.
“Operasi dengan kaedah selaman itu akan dimulakan pukul 2 pagi membabitkan lapan penyelam dan dibantu 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.
“Kita lakukan operasi ini pukul 2 pagi kerana dijangkakan paras air kumbahan akan kurang dari satu meter berbanding kebiasaannya.
“Ketika ini, paras air pada ketinggian 1.5 meter dengan kelajuan tiga knot. Kelajuan ini menandakan air deras dan merisikokan penyelam,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini. -KOSMO! ONLINE