fbpx

Sumbangan daripada loji janakuasa TBP, TBE pacu keuntungan Malakoff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) membantu menyumbang kepada kenaikan pendapatan Malakoff untuk suku kedua tahun 2024.

PETALING JAYA –  Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM93.6 juta bagi sukuan kedua 2024 (Q2 FY2024), dengan peningkatan sebanyak 129 peratus berbanding RM318.7 juta kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (LATMI) pada sukuan yang sama sebelumnya berakhir 30 Jun 2023 (Q2 FY2023).

Lonjakan keuntungan itu dipacu oleh sumbangan lebih baik daripada Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE).

Ini juga disebabkan oleh kos arang batu purata wajaran yang lebih rendah berikutan penstabilan harga global arang batu, permintaan tenaga yang lebih tinggi dan keuntungan yang diperoleh daripada pampasan bagi pengambilan tanah secara wajib.

Pengarah Urusan dan  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, sebagai tindak balas kepada permintaan tenaga yang semakin meningkat, Malakoff bersiap sedia untuk membantu kerajaan dalam menjamin bekalan tenaga negara dengan mengoptimumkan kecekapan loji di samping memajukan inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).

“Pada minggu ini, Prai Power Sdn Bhd (PPSB), anak syarikat Malakoff, telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu bersama Tenaga Nasional Berhad untuk melanjutkan operasi loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (“CCPP”) 350MW, Loji Janakuasa Prai di Pulau Pinang, dengan penambahan operasi selama satu tahun bagi kemungkinan sambungan selanjutnya pada masa hadapan. 

“Dengan tarikh operasi komersial berjadual yang ditetapkan bermula pada 1 September 2024, langkah ini memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat di samping meningkatkan keselamatan tenaga simpanan yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Kumpulan juga mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.30 bilion bagi sukuan Q2 FY2024 penurunan sebanyak 2.4 peratus daripada RM2.36 bilion yang dilaporkan pada Q2  tahun sebelumnya.

Penurunan ini disebabkan oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah yang dicatatkan TBP dan TBE mencerminkan penurunan harga arang batu tercapai (ACP). 

Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya ditampung oleh bayaran tenaga yang lebih tinggi yang direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) berikutan faktor penghantaran yang lebih tinggi. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI