fbpx

K2

Status hadis cintakan negara sebahagian iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK salah seseorang itu cintakan negara atau tempat kelahirannya kerana ia merupakan fitrah manusia. – Gambar hiasan

Apakah status hadis yang menyatakan cintakan negara (tanah air) sebahagian daripada tanda keimanan seseorang? Minta penjelasan Mufti.

Jawapan: Sifat cintakan tanah air merupakan sifat terpuji dan amat dituntut.

Akan tetapi, agama melarang sifat taksub (fanatik) terhadap sesuatu bangsa atau kaum kerana agama ini bersifat rahmat kepada seluruh alam.

Bersempena dengan kehadiran bulan kemerdekaan negara kali yang ke-67, maka kebanyakan manusia akan mula mencari kelebihan atau fadilat cinta kepada negara dan sebagainya.

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadis cintakan negara daripada iman.

Berdasarkan hadis di atas, sebelum kami nyatakan pandangan berkaitan status hadis, suka bagi kami memberi beberapa pandangan daripada para ulama:
Imam al-Saghani (650 H) menilai hadis ini palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 1/53] Imam al-Fattani (986H) menilai hadis ini palsu. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 1/11]
Imam Mulla Ali al-Qari (1014H) menilai hadis ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Masnu’fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 1/91]
Imam al-Qawqaji (1305H) menilai hadis ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 1/72]

Menurut Imam al-‘Amiriy (1143H) di dalam kitabnya, ucapan tersebut bukanlah daripada hadis Nabi SAW. Akan tetapi, ia diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada al-Dhahhak berkata: “Apabila dia (Rasulullah SAW) keluar dari Mekah dan sampai ke al-Juhfah, dia merasa rindu kepada Mekah.

Lalu Allah SWT menurunkan ayat: al-Qasas: 85, “Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan kamu lagi kepada apa yang kamu ingini dan cintai.”

Tempat yang diingini dan dicintai itu adalah Mekah.

Telah berkata al-Asma’iy: Aku telah mendengar seorang a’rabiy (orang asing) berkata: “Sekiranya kamu ingin tahu akan keadaan seseorang itu, maka lihatlah bagaimana dia cintakan negaranya, rindukan ahli keluarganya dan tangisannya di atas masanya yang telah lalu. [Lihat: al-Jadd al-Hathith fi Bayan ma Laisa bi Hadith, 1/85]

Melihat kepada pandangan beberapa ulama hadis di atas, maka kami berpendapat bahawa hadis di atas adalah tidak sahih atau palsu.

Justeru , kita tidak boleh untuk meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

Kesimpulannya, berbalik kepada persoalan di atas, hadis berkaitan sifat cintakan negara termasuk di dalam sebahagian tanda keimanan adalah hadis tidak sahih daripada Nabi SAW.

Akan tetapi, tidak salah seseorang itu untuk mencintai negaranya atau tempat lahirnya kerana ia termasuk di dalam fitrah manusia sehinggakan Nabi SAW juga mencintai tempat lahir Baginda SAW iaitu Mekah berdasarkan kepada sebuah hadis:

Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW berkata pada Mekah:“Alangkah baiknya dirimu wahai Mekah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” [Riwayat al-Tirmizi (3926)][Hadis ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi]

Wallahua’lam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI