fbpx

Rumah terbiar jadi stor simpanan produk kosmetik timbang kilo RM600,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Jamal (tengah) menunjukkan sabun timbang kilo yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Penguat Kuasa JKDM Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TUMPAT – Seorang lelaki tidak sempat mengedar produk kosmetik timbang kilo bernilai lebih RM600,000 termasuk cukai selepas sebuah rumah terbiar yang dijadikan stor simpanan barangan itu di Kampung Bunohan, di sini diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira dua minggu lalu.

Serbuan dijalankan oleh Pasukan Marin Kastam Penguat Kuasa Pengkalan Kubor, JKDM Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 3 petang pada 18 Ogos lalu selepas membuat intipan selama dua minggu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu berada di dalam rumah tersebut semasa serbuan dijalankan.

Menurutnya, siasatan mendapati, rumah terbiar itu dijadikan stor untuk menyimpan produk kosmetik timbang kilo yang diseludup dari Thailand.

“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut kemudian menjumpai pelbagai produk kosmetik seperti krim muka, sabun dan serum bernilai lebih RM568,000 dengan cukai kira-kira RM56,817.

“Siasatan lanjut mendapati, penyeludup membawa masuk barangan kosmetik tersebut dari negara jiran dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan bot sebelum ada individu menunggu di pangkalan haram,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguat Kuasa JKDM Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kesemua barangan kosmetik itu dipunggah ke dalam kereta sebelum ia dibawa dan disimpan di dalam stor tersebut.

Menurutnya, barangan kosmetik timbang kilo itu kemudian diedarkan sebelum ia dibungkus di kilang-kilang kosmetik di seluruh negara.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya barangan tidak berkastam atau barang larangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI