fbpx

Restoran simpan 430kg minyak masak tanpa permit kena tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN (kiri) memeriksa minyak masak 5kg yang ditemui di sebuah restoran di Medan Simpang, Taiping semalam. - Foto IHSAN KPDN

TAIPING – Kegagalan mengemukakan permit terhadap 86 botol minyak masak 5 kilogram (kg) yang disimpan menyebabkan sebuah restoran di Medan Simpang di sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan yang dilakukan kira-kira pukul 1 petang itu melibatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang dikawal selia oleh KPDN.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sebanyak 86 botol minyak masak berat 5kg atau anggaran keseluruhan 430kg di restoran berkenaan.

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati restoran terbabit gagal mengemukakan lesen atau permit berkaitan barang kawalan minyak masak apabila diminta,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, minyak masak merupakan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perlu mempunyai permit atau surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.

Katanya, permit dikeluarkan kepada syarikat, organisasi atau individu itu adalah untuk membeli barang kawalan berjadual dalam jumlah tertentu daripada pemborong berlesen untuk kegunaan selain dari tujuan jualan semula.

Kamalludin berkata, premis telah disyaki menyimpan barang kawalan tersebut tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barang kawalan iaitu minyak masak botol 5kg sebanyak 86 botol atau 430kg serta dokumen berkaitan telah disita.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM2,657.40,” katanya.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI