PONTIAN – Seorang remaja terkorban apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Sinar Harapan Batu 27, Pekan Nanas di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.57 pagi itu, mangsa, Muhammad Nurhakimi Mohd. Rashidi, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan II, Bakhtiar Chik berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal, sebuah kereta Perodua Myvi, Alza, Toyota Fortuner dan Honda Civic.
Katanya, tujuh anggota bersama dua jentera dari dari BBP Pekan Nanas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, terdapat empat mangsa cedera dan seorang penunggang motosikal maut.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. -KOSMO! ONLINE