PETALING JAYA – Perubahan cuaca yang semakin ketara kini telah mendorong masyarakat tidak kira lelaki atau wanita begitu serius dalam pemilihan produk untuk melindungi kulit masing-masing.
Produk tersebut adalah sebagai perisai utama yang melindungi kulit daripada serangan sinar ultraviolet (UV) yang berbahaya dan mencegah kerosakan jangka panjang yang boleh membawa risiko serius.
Bersandarkan permasalahan tersebut, banyak syarikat tempatan dan asing komited membuat kajian dan pembangunan untuk menghasilkan produk berkualiti bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Turut mengambil peluang daripada pertumbuhan pasaran berpotensi itu, sebuah syarikat tempatan yang diasaskan oleh Dr. Nazirin Ariffin telah memperkenalkan produk 16PERCENT yang merupakan rangkaian produk yang diformulasikan khas untuk memenuhi pelbagai keperluan kulit.
Pengasas Skin Clinic Nazirin menjelaskan, selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet seimbang, senaman berkala dan hidrasi yang mencukupi maka perlindungan kulit daripada kerosakan UV adalah sama pentingnya.
“Produk pelindung matahari adalah benteng pertama melawan penuaan pramatang dan juga cahaya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau yang juga pakar dermatologi berkata, orang ramai disarankan untuk mengambil tahu tentang perlindungan UVB dan UVA bagi membolehkan mereka membuat pemilihan yang tepat bagi produk yang berkesan.
“Pelindung matahari dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) menunjukkan keupayaan melindungi kulit daripada sinaran UVB. Sebagai contoh, SPF 30 mampu menyekat sekitar 97 peratus sinaran UVB, manakala SPF 50+ memberikan sedikit perlindungan tambahan, menyekat lebih 98 peratus,” katanya.
Tambah beliau, terdapat dua kategori utama pelindung matahari iaitu fizikal dan kimia.
Pelindung matahari fizikal, yang biasanya mengandungi zink oksida atau titanium dioksida, memantulkan sinaran UV, menjadikannya lebih selamat untuk kulit sensitif.
Sebaliknya, pelindung matahari kimia menyerap sinaran UV dan menukarkannya kepada haba. Kombinasi kedua-dua jenis pelindung ini memberikan perlindungan yang menyeluruh dan efektif.
“Untuk memastikan perlindungan kulit yang optimum, disarankan agar pengguna menggunakan pelindung matahari dengan spektrum luas yang mempunyai sekurang-kurangnya SPF 30 setiap hari, walaupun pada hari mendung.
“Penggunaan semula setiap dua jam, terutamanya selepas berenang atau berpeluh, adalah penting untuk mengekalkan keberkesanannya. Selain itu, memakai pakaian pelindung, mencari tempat teduh semasa waktu puncak sinaran matahari, dan memantau perubahan kulit adalah langkah penting dalam menjaga kesihatan kulit,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang manfaat pelindung matahari dan cara terbaik untuk melindungi kulit,. Nazirin mengesyorkan untuk berunding dengan pakar dermatologi.
“Penjagaan kulit bukan hanya tentang kelihatan cantik; ia juga tentang memastikan kulit anda dilindungi daripada bahaya jangka panjang,” katanya. -KOSMO! ONLINE