SAMBUTAN Hari Kemerdekaan merupakan antara acara yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun.
Rata-rata pengunjung menantikan perarakan pelbagai kontinjen yang penuh warna-warni, jentera serta aset keselamatan negara.
Selain itu, terdapat persembahan muzikal, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang dikecapi sejak 1957. Pada edisi kali ini, Dataran Putrajaya sekali lagi menjadi lokasi sambutan yang bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
Jadi, Horizon ingin berkongsi tip persediaan menonton perarakan Hari Kemerdekaan ke-67 pada Sabtu ini.
Datang awal untuk dapat tempat terbaik
Berdasarkan poster rasmi sambutan kemerdekaan pada tahun ini, acara akan bermula pada pukul 7 pagi hingga 2 petang.
Namun, terdapat pengunjung yang sanggup bermalam di Dataran Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan tempat duduk paling strategik.
Oleh itu, sekiranya inginkan tempat duduk terbaik, pengunjung perlu merancang perjalanan dengan baik.
Bersedia dengan cuaca tidak menentu
Bagi mereka yang mahu bermalam di dataran, pastikan anda membawa baju hujan atau payung kerana keadaan cuaca tidak menentu.
Biarpun ada pihak yang menjual barangan tersebut di lokasi perarakan, namun harganya pasti jauh lebih tinggi.
Tidak lupa juga bawa kipas tangan dan pakai topi kerana anda berkemungkinan akan terdedah dengan cuaca panas pada hari perarakan.
Bawa bekalan air atau makanan sampingan
Meskipun akan ada trak makanan di kawasan dataran, namun lokasinya agak jauh dari tempat perarakan. Anda pasti tidak mahu meninggalkan tempat duduk kerana khuatir orang lain akan ambil tempat tersebut.
Nasihat kami, lebih baik anda beli makanan dan minuman sebelum cari tempat duduk.
Jangan lupa power bank
Tidak lengkap kehadiran ke sambutan Merdeka sekiranya tidak merakam memori indah perarakan dan persembahan.
Justeru, jangan lupa bawa power bank kerana anda akan berada di dataran dalam jangka masa panjang.
Pastikan ruang simpanan telefon anda mencukupi supaya boleh merakam banyak gambar dan video pada hari tersebut.
Pantau pergerakan keluarga dan rakan
Lazimnya, sukar untuk mendapat signal telekomunikasi apabila berada dalam lautan manusia.
Atas dasar itu, pastikan anda dan keluarga sentiasa berkomunikasi sebelum meninggalkan tempat duduk. Pastikan juga anda mengawasi anak-anak.