fbpx

K2

Perlukah jenazah disusun ikut tahap kealiman?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISLAM telah memberikan panduan yang lengkap berkaitan pengurusan jenazah. – Gambar hiasan

Adakah dalil atau rujukan berkaitan susunan jenazah dalam satu liang lahad mengikut tahap kealiman atau hafiz al-Quran dan lain-lain? Terima kasih.

Jawapan: Mengikut kaedah asal pengebumian jenazah di dalam satu liang lahad, ia harus menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Hal ini seperti yang disebutkan di dalam matan Safinah al-Naja: “Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta melindungi daripada haiwan buas. Liang lahad yang sempurna adalah dengan ukuran sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, meletakkan pipi jenazah supaya menyentuh tanah dan wajib menghadapkannya ke arah kiblat”.

Secara asasnya, mengebumikan banyak jenazah dalam satu liang adalah haram. Namun dalam situasi yang lain, sekiranya terdapat keperluan atau keadaan yang mendesak untuk pengebumian jenazah lebih dari satu di dalam satu liang lahad adalah harus. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dua jenazah tidak boleh dikebumikan di dalam satu kubur, bahkan setiap jenazah perlu diasingkan dalam satu kubur (untuk setiap mayat) dalam keadaan bukan darurat berdasarkan contoh ikutan amalan Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, Islam memberikan panduan menyusun jenazah dalam satu liang lahad. Cara susunan banyak jenazah dalam satu liang lahad telah diajarkan oleh Baginda SAW berdasarkan hadis berikut: “Galilah, perluaskanlah, perelokkanlah dan kebumikanlah mereka dua orang atau tiga orang dalam satu kubur dan dahulukanlah dalam kalangan mereka yang banyak hafalan al-Qurannya.(Riwayat al-Tirmizi)

Berpandukan hadis di atas Imam al-Ramli menjelaskan: “Dalam keadaan yang tidak mendesak disunatkan pengebumian setiap jenazah dalam satu liang lahad. Begitulah yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah SAW sekiranya terdapat jenazah yang ramai disebabkan terbunuh dalam peperangan atau lain-lain.

Hal ini kerana wujud kesulitan untuk mengebumikan satu persatu, maka dua atau tiga jenazah boleh dikebumikan dalam satu liang kubur.

Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW, di mana Nabi SAW pernah berkata kepada kaum Ansar ketika peperangan Uhud; “Galilah, perluaskanlah, perelokkanlah dan kebumikanlah mereka dua orang atau tiga orang dalam satu kubur dan dahulukanlah dalam kalangan mereka yang banyak hafalan al-Quran dan tentukanlah kedudukan jenazah-jenazah yang paling utama dengan dinding kubur yang menghadap kiblat”.

Walaupun begitu, terdapat beberapa syarat yang diletakkan oleh para ulama bagi melaksanakan pengebumian lebih daripada satu jenazah dalam satu liang lahad. Syarat-syarat pelaksanaannya adalah seperti berikut:
– Hendaklah jenazah diasingkan mengikut jantina, namun jika ada pertalian mahram dan perkahwinan diharuskan untuk dikebumikan bersama.
– Hendaklah dipisahkan antara dua jenazah dengan penghadang.
– Tidak menggali semula kubur jenazah lama untuk mengebumikan jenazah baharu kecuali jika jenazah lama sudah reput.

Meraikan susunan jenazah di dalam liang lahad mengikut keutamaan dan ketinggian taraf jenazah.

Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi’i bahawa perlu mengutamakan mereka yang lebih banyak hafalan al-Qurannya. Diutamakan bapa berbanding anak walaupun anak lebih afdal kerana kedudukan bapa lebih dihormati, didahulukan ibu berbanding anak perempuan dan lain-lain.

Kesimpulan, keutamaan susunan jenazah mengikut tahap kealiman, tahap hafalan al-Quran dan seumpamanya memang terdapat panduan daripada hadis Nabi SAW dan penjelasannya oleh para ulama fiqh dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI