TAPAH – Seorang ibu tunggal yang kehilangan suami tempat bergantung lebih 10 tahun lalu berharap anak sulungnya yang dibebaskan daripada Penjara Tapah di sini menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) benar-benar berubah atas kekhilafannya yang lalu.
Ibu tunggal yang ingin dikenali Noli, 51, berkata, pada mulanya dia tidak meletakkan sebarang harapan kepada anaknya, Daniel (bukan nama sebenar), 28, atas kesalahan melupuskan barang curi.
“Saya harap dia benar-benar berubah kerana perit sebagai ibu tunggal menjaga tujuh anak, lagi-lagi ada anak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini.
“Mulanya saya tidak meletakkan sebarang harapan pada Daniel, tetapi nampak banyak perubahan pada dia menyebabkan saya terharu dan ingin menangis kerana gembira,” katanya pada media sempena majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Kemerdekaan Kali ke-67 Peringkat Penjara Negeri Perak di Penjara Tapah, Tapah Road di sini hari ini.
Dalam pada itu, Daniel berkata, dia bergembira kerana keluarganya sudi menerimanya kembali atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
“Saya bertaubat daripada menjadi seorang anak yang derhaka dan dapat menghilangkan stigma masyarakat bekas banduan sukar untuk diterima keluarga dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seorang prospek yang ingin dikenali Loga, 38, yang berasal dari Teluk Intan dekat sini, berkata, telah cukup keluarganya menderita kerana kesalahan lampau menagih ganja.
“Cukuplah sudah, saya ingin bekerja dan berbakti kepada isteri dan tiga orang anak,” katanya. – KOSMO! ONLINE