ALOR SETAR – Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menyerahkan kepada pihak pengurusan bagi membuat keputusan berhubung pemilihan pemain bagi diserap ke pasukan itu sempena jendela perpindahan kedua yang dibuka, baru-baru ini.
Menurut Nafuzi, beliau sebelum ini sudah menyerahkan perancangan yang dirasakan sesuai bagi menambah kekuatan pasukan dan kini hanya menanti ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan.
Katanya, perbincangan sentiasa berjalan antara pihaknya dan pengurusan dengan perancangan tersebut sentiasa disesuaikan dengan kemampuan kewangan pasukan.
“Saya rasa kita perlu ambil peluang dari jendela perpindahan ini untuk meningkatkan kemampuan pasukan bagi mengatasi kekurangan yang ada. Dalam hal ini, saya serahkan kepada pihak pengurusan dan sudah tentu, mereka akan berikan yang terbaik.
“Masanya masih panjang kerana jendela perpindahan baru saja dibuka. Jika ada khabar mengatakan terdapat pemain kita akan keluar, itu juga sesuatu yang normal kerana kita juga ‘mengintai’ pemain lain untuk kuatkan pasukan ini.
“Dalam aspek perpindahan pemain ini, saya memang kena bincang dengan pengurusan untuk melihat kesesuaiannya. Semua ini melibatkan kewangan pasukan dan kita perlu sepakat,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman, di sini, hari ini sempena perlawanan persahabatan antarabangsa ‘Nusantara Challenge’ melibatkan KDA FC dengan Malut United dari Indonesia yang bakal berlangsung di lokasi sama, petang esok.
Ditanya mengenai khabar menyatakan tonggak tengah dari Bahrain, Habib Haroon akan meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini, Nafuzi meminta agar semua pihak menantikan kenyataan daripada pihak pengurusan.
“Habib memang sudah tidak menjalani latihan tetapi kalau ada sebarang spekulasi, kita tunggulah dari pihak pengurusan,” ujarnya.
Sementara itu Kapten pasukan, Sony Norde menyifatkan KDA FC ketika ini berada di kedudukan tidak sepatutnya dalam Liga Super iaitu di tangga ke-8 liga.
“Namun perjalanan liga ini ibarat maraton dan ‘perlumbaan’ masih panjang. Jadi kami masih ada peluang memperbaiki keadaan seperti mana dimahukan Nafuzi setiap kali di padang latihan.
“Saya percaya kepada kualiti pemain yang ada dalam pasukan ini dan kami akan berusaha untuk meletakkan pasukan di kedudukan sepatutnya. Masih ada masa untuk melakukan sesuatu dan tiada siapa tahu sama ada pasukan ini akan berada di kedudukan dua atau tiga teratas pada akhir musim,” katanya. – KOSMO! ONLINE