KUALA NERUS – Menara berkembar buah-buahan tinggi diperbuat daripada limau bali dan nangka antara tarikan bakal ditampilkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) bermula 11 September depan.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, menara berkembar buah-buahan tersebut dijangka akan mendapat pengiktirafan sebagai Malaysia Book of Records (MBOR).
“Menara buah-buahan itu akan dibina di salah satu kluster pameran FAMA iaitu Kingdom of Agro Food.
“Sebahagian besar menara tersebut diperbuat daripada buah limau bali yang dibawa khas dari Tenom, Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Jualan Agro Madani Mega peringkat Terengganu di sini hari ini.
Karnival tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Abdul Rashid berkata, selain Kingdom of Agro Food, FAMA juga akan menampilkan empat kluster lain iaitu Food Empire and Viral, Agro Trade, Food Truck Fiesta dan Rhythm of Farmer sewaktu Maha yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, Selangor.
Tambah beliau, pengunjung berpeluang merasai 1,000 jenis menu dan minuman istimewa dan tular seluruh negara di kluster Food Empire and Viral.
“Food Truck Festa pula menampilkan 20 pengendali trak makanan daripada seluruh negara manakala Agro Trade pula akan memadankan perniagaan produk usawan tani tempatan dengan pengimport luar negara,” katanya.
Abdul Rashid berkata, FAMA menjangkakan mampu meraih jualan RM5 juta menerusi kelima-lima kluster yang bakal ditampilkan pada MAHA tersebut. – KOSMO! ONLINE