IPOH – Polis telah merakam percakapan empat individu bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah lantai simen di pekarangan ruang letak kenderaan sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mereka yang dirakam percakapan itu termasuk pengadu yang menjumpai mayat bayi tersebut dan pemilik rumah.
“Usaha kini dijalankan bagi mengesan saksi lain termasuk wanita warga asing yang merupakan penyewa terakhir kediaman itu,” katanya, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan penemuan mayat bayi oleh penyewa iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun ketika melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sekitar pukul 11 pagi. – KOSMO! ONLINE