KOTA BHARU – Perpecahan dan masalah dalam keluarga dipercayai menjadi punca utama kebanyakan individu melarikan diri dari rumah atau menghilang tanpa khabar berita.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keadaan huru-hara akibat masalah keluarga juga menyebabkan mereka tertekan sehingga bertindak melarikan diri daripada keadaan tersebut.
Menurutnya, sehubungan itu, pihak keluarga perlu membuat laporan segera apabila ada ahli keluarga mereka yang hilang atau gagal dihubungi.
“Tidak perlu menunggu sehingga 24 jam atau tular di media sosial baru hendak membuat laporan polis. Selain itu, kita boleh memantau pergerakan anak-anak atau ahli keluarga kerana mereka mempunyai telefon bimbit.
“Sekiranya tidak dapat menghubungi mereka, terus buat laporan kepada polis,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kelantan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, semua Ketua Polis Daerah (KPD) sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera apabila menerima laporan berhubung orang hilang.
Menurutnya, siasatan secara menyeluruh dijalankan termasuk terhadap keluarga dan adik-beradik individu yang dilaporkan hilang.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dilaporkan hilang 10 hari selepas keluar bekerja akhirnya dijumpai dalam keadaan selamat malam Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE