PETALING JAYA – Enggan berselindung lagi, pempengaruh Umisya Mazlan mengakui dia dan suaminya, Aslam bakal menimang cahaya mata ketiga.
Semuanya terbongkar apabila pemilik nama sebenar Umisya Mazlan, 25, itu mempromosikan pelembab kulit sebelum berkata produk tersebut sesuai digunakan untuk wanita mengandung, sekali gus mengesahkan dirinya sedang hamil.
“Satu benda yang saya takkan tinggalkan adalah rutin penjagaan muka.
“Saya akan gunakan pelembab dari saya mengandung anak pertama hingga ketiga ini.
“Yang penting sesuai untuk ibu mengandung, sebab itulah saya pakai,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Pun begitu, madu kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim tidak mendedahkan usia kandungannya.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan berita gembira tersebut selain mendoakan Umisya dan bayinya sentiasa sihat.
“Betul apa sangkaan saya selama ini, fizikalnya nampak macam hamil. Alhamdulillah tahniah!,” komen netizen itu
“Patut nampak berisi sikit, rupanya betul hamil. Bagus dapat anak di usia muda tapi kena kerja kuat untuk stabilkan ekonomi,” demikian komen netizen itu.
Terdahulu, Umisya memberi bayangan seakan sedang melalui fasa berbadan dua apabila mengidam untuk menikmati makanan dari sebuah restoran terkenal.
Imbas kembali, madunya Marissa Dania baru sahaja kehilangan bayi sulung ketika dilahirkan pramatang. Difahamkan, Marissa sedang hamil enam bulan dan dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit perut.
Aslam kemudian mengesahkan berita kematian anak sulung mereka dan meminta orang ramai tidak mencetuskan spekulasi berhubung berita tersebut. – KOSMO! ONLINE.