ALOR SETAR – Lelaki Rohingya yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya di sebuah bangunan terbiar di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, di sini pada 18 Ogos lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Suspek berusia 43 tahun tiba di pekarangan mahkamah itu dengan diiringi polis kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Dia dijangka berdepan tiga pertuduhan membunuh dan satu berkaitan dadah.
Lelaki terbabit sebelum ini direman tujuh hari bermula 20 Ogos lalu sebelum tempoh reman disambung tujuh hari lagi dan berakhir 2 September depan.
Siasatan ke atas suspek yang merupakan seorang gelandangan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu, suspek bertindak kejam dengan mengelar leher isteri berusia 34 tahun dan dua anak di kawasan bangunan terbiar itu.
Mayat isteri dan anak perempuan sulung berusia 10 tahun ditemui di dalam longkang kecil belakang bangunan tersebut keesokan harinya.
Mayat anak lelaki bongsu suspek berusia dua tahun yang dibuang ke dalam longkang dijumpai terdampar di tepi Pantai Leman, Kuala Kedah dua hari kemudian.
Seorang lagi anak lelaki mangsa berusia lima tahun ditemui tanpa sebarang kecederaan bersama suspek ketika ditahan di Masjid Al-Hidayah di Bukit Pinang, dekat sini.
Lelaki Rohingya terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan mop.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tekanan hidup dan masalah penagihan dadah dipercayai menjadi punca suspek membunuh isteri dan dua anaknya itu.
– KOSMO! ONLINE