AMPANG – Seorang pekerja hotel mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melanggar dua anggota polis trafik dan dua individu lain lima bulan lalu.
Tertuduh Mohamad Syazwan Abdul Halim, 29, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan
Majistret Amalina Basirah Md. Top.
Mahkamah menetapkan tarikh 14 Oktober ini untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan penuh perubatan kesemua mangsa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya terhadap penunggang motosikal, Sarjan Syafiqah Arinah Mohamed Anwar, 30, dan Koperal Mohd. Hasrul Aswad Mohd Shukri, 34.
Dua lagi penunggang motosikal iaitu kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Wan Ariff Danial Wan Ahmad Sofian, 31, dan orang awam Nurul Syahiera Zaiful Azar, 31.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pandan Indah Utama di sini pukul 9 pagi 21 Mac 2024, mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 serta boleh dipenjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon tertuduh diikat jamin RM7,000 dan meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan perubatan keempat-empat mangsa.
Sementara itu, peguam Wan Nur Afifah Che Bakar mewakili tertuduh memohon jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000 kerana dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan adik ipar berumur 22 tahun.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Majistret Amalina membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE