PETALING JAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan berita yang tular berkenaan pengislaman seorang saudara baharu di Islamic Outreach ABIM (LOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tragedi tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, saudara baharu tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan IOA Masjid Negara pada hari Isnin lalu.
“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu ini bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau.
“Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala, serta istigamah dalam mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Fahmi berkata, pihaknya menegaskan bahawa sesungguhnya, mempunyai agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia.
“Justeru, sudah semestinya tidak siapapun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama. Hal ini selaras dengan firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Surah al-Bagarah: 256).
“ABIM mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam, selanjutnya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subahnahu wa-Ta’ala,” katanya.
Katanya, ABIM juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan, dan menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa.
Terdahulu, tular hantaran mengenai seorang lelaki yang hampir menjadi mangsa terjatuh di lubang jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini yang telah memeluk Islam.
Menerusi hantaran tular itu di Facebook, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Kalidass atau nama Islamnya Haridath, 48, dikatakan terus membuat keputusan itu tidak lama selepas dia terselamat dalam insiden terbabit.
“Dia benar-benar yakin dengan adanya Allah SWT dan Allah SWT telah menyelamatkan dia dari ditelan bumi.
“Maka dia terus yakin yang Allah SWT sayangkan dia dan dia mesti masuk Islam dan menjadi seorang muslimin,” tulis hantaran itu.
Difahamkan, Haridath pada mulanya telah pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, namun telah diarahkan untuk ke pejabat ABIM, Masjid Negara untuk urusan pengislaman dalam Bahasa Inggeris.
“Masya-Allah kami semua merasa terharu dengan hidayah yang Allah SWT campakkan kepada beliau serta-merta.
“Dia telah memilih nama barunya. Berumur 48 tahun dan masih bujang. Ibu bapanya sudah meninggal dunia. Dia betul-betul terharu bila kita peluk dia selepas dia mengucap syahadah, berlinang air mata,” katanya.
Jumaat lalu seorang wanita yang merupakan pelancong dari India yang sedang berjalan di kaki lima berhampiran bangunan Wisma Yakin, Jalan Masjid India tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus. – KOSMO! ONLINE