fbpx

Laporan RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Batu Puteh

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan suruhanjaya itu telah dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung semalam oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tun Md. Raus Sharif.

“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya Laporan Suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, laporan terkini suruhanjaya itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 Jun lalu oleh Md Raus.

Pada Feb lepas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta-merta.

RCI itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Feb 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 27 Feb lalu, Azalina berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI