KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan utama sekitar Lembah Klang disenaraikan sebagai lokasi berisiko terdedah kepada pembentukan ‘sinkhole’ seperti mana yang terjadi dalam insiden di Jalan Masjid India di sini, ketika ini.
Perkara itu didedahkan menerusi kajian yang dibuat pada 2017 bertajuk “Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya” oleh Mohd. Asri Hakim Mohd. Rosdi, Ainon Nisa Othman, Muhamad Arief Muhd Zubir, Zulkiflee Abdul Latif dan Zaharah Mohd. Yusoff.
Semakan Kosmo! di laman sesawang Google Scholar mendapati, kajian itu telah menyenaraikan lebih lima kawasan terlibat mengikut tahap bermula dari rendah hingga paling tinggi risiko.
“Bagi (low risk) melibatkan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bukit Jalil dan Sungai Besi, sementara (high risk) adalah kawasan Pudu, Cheras dan KLCC.
“Kawasan yang tersenarai dalam kategori (veri high risk) adalah di Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya,” lapor kajian tersebut.
Sementara itu, tujuan kajian itu dilakukan adalah bagi mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi terhadap pembentukan ‘sinkhole’, yang boleh memberi implikasi serius terhadap pembangunan infrastruktur dan keselamatan awam.
Kajian itu juga menggunakan gabungan teknologi GIS dan Proses Hierarki Analitik (AHP) untuk menghasilkan peta risiko yang boleh membantu dalam perancangan bandar dan mitigasi bencana.
“Lubang benam tidak diklasifikasikan sebagai fenomena baharu di negara ini terutamanya di sekitar Lembah Klang. Sejak tahun 1968, peningkatan kejadian lubang benam telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
“Hasilnya, ia menimbulkan ancaman serius kepada nyawa manusia, aset dan struktur terutamanya di ibu kota Malaysia. Oleh itu, Model Bahaya Sinkhole (SHM) telah dihasilkan dengan penyepaduan rangka kerja GIS dengan menggunakan teknik AHP untuk menghasilkan peta bahaya kerentanan lubang benam untuk kawasan tertentu,” jelas kajian itu.
Mengulas lanjut mengenai kajian tersebut, didapati lima parameter berturut-turut bagi kriteria utama yang masing-masing dikategorikan oleh lima sub kelas telah dipilih untuk penyelidikan ini iaitu Litologi (LT), Penurunan Paras Air Tanah (WLD), Jenis Tanah (ST), Guna Tanah (LU) dan Kedekatan dengan Telaga Air Tanah (PG).
“Satu set pemberat relatif telah diberikan kepada setiap faktor dorongan dan dikira melalui matriks perbandingan berpasangan yang diperoleh daripada pertimbangan pakar.
“Litologi dan Penurunan Paras Air Tanah telah dikenal pasti memberikan impak yang paling tinggi kepada pembangunan lubang benam.
“Zon bahaya kerentanan lubang benam dikelaskan kepada lima kawasan terdedah iaitu bahaya sangat rendah, rendah, sederhana, tinggi dan sangat tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, hasil kajian itu berjaya memperoleh keputusan yang telah disahkan dengan 33 data inventori lubang benam sebelumnya.
“Penilaian ini menunjukkan bahawa model menunjukkan 64 peratus dan 21 peratus kejadian lubang benam masing-masing berada dalam zon bahaya tinggi dan sangat tinggi.
“Berdasarkan hasil ini, ia jelas menunjukkan bahawa pendekatan AHP berguna untuk meramalkan bencana alam seperti bahaya lubang benam,” kongsi dapatan dalam kajian itu. – KOSMO! ONLINE