PUTRAJAYA – Kuala Lumpur di kedudukan ke-93 dalam tempat 100 teratas bagi Kluster Sains dan Teknologi, menurut Indeks Inovasi Global (GII) 2024 diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ini merupakan pencapaian besar untuk Malaysia di peringkat inovasi global dan di hadapan beberapa kluster ekonomi utama yang lain.
Katanya, GII ialah penanda aras yang menyenaraikan kluster ekonomi berdasarkan keupayaan inovasi dengan penekanan antaranya melibatkan kluster Sains dan Teknologi (S&T).
“Penyertaan Kuala Lumpur dalam 100 teratas menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang penyelidikan saintifik dan kemajuan teknologi,” katanya hari ini.
Metodologi penilaian GII tidak mengambil kira sempadan pentadbiran atau politik, sebaliknya menumpukan kepada kawasan geografi dengan jumlah kepadatan tinggi pereka cipta inovasi dan kajian saintifik.
Katanya, lonjakan Kuala Lumpur dalam senarai berprestij ini juga dicapai melalui peningkatan ketepatan geokod dengan penyumbang utama penglibatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS).
“Universiti Malaya turut diiktiraf sebagai organisasi penerbitan utama, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab inovasi saintifik dan teknologi,” katanya.
Dalam usaha Malaysia menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan, pencapaian katanya, ini membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, menarik pelaburan, dan menggalakkan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor sains dan teknologi negara.
Armizan berkata, pihaknya komited untuk menyokong usaha-usaha ini demi memastikan ekosistem inovasi Malaysia terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara.
“KPDN, melalui agensinya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, dan pemain industri dalam sektor-sektor berpotensi seperti Elektronik dan Elektrik (E&E), Teknologi dan Inovasi, Pelancongan,
Makanan dan Minuman, serta Industri Kreatif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE