fbpx

KBS bela nasib dua penerjun Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH menjelaskan bahawa dua penerjun Terengganu akan meneruskan latihan mereka di Sekolah Sukan Malaysia selian Kerajaan Persekutuan.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan dua penerjun wanita Terengganu yang cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini akan meneruskan latihan mereka di Sekolah Sukan Malaysia selian Kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang penglibatan atlet wanita dalam bidang sukan tertentu yang dikhuatiri akan merencatkan potensi atlet muda selain bakal memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya.

“Dua penerjun wanita Terengganu yang telah memenangi pingat di Sukma Sarawak baru-baru ini akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya bakat mereka akan terus dapat dikembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan pada masa akan datang.

“Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun, Bryan Nickson telah mengenal pasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hannah turut berharap Kerajaan Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun tersebut.

“KBS Malaysia berharap Kerajaan Negeri Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan memandangkan kedua-dua penerjun tersebut juga telah menyumbang pingat kepada Kontinjen Negeri Terengganu.

“Untuk makluman semua, setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu,” ujarnya.

Dua atlet wanita Terengganu sebelum ini menimbulkan kontroversi menyertai acara terjun di Sukma Sarawak tanpa kebenaran kerajaan negeri Terengganu kerana tidak mematuhi pemakaian patuh syariah ditetapkan untuk atlet negeri itu.

Penerjun Terengganu tersebut, Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf tampil cemerlang apabila merangkul dua pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI