PETALING JAYA – Jom Cha by Farm Fresh Berhad hari ini melancarkan produk terbaharunya iaitu pencuci mulut, ‘Yoghurt Soft Serve’ yang menggabungkan rasa sedap dan sihat sekali gus membawa orang ramai menikmati pengalaman sebenar ‘dari ladang ke cawan’.
Istimewanya, ‘Yoghurt Soft Serve’ menampilkan rasa lembut, berkrim, manis dan segar kerana dibuat daripada tenusu semulajadi Farm Fresh dan yogurt asli yang boleh didapati dengan pelbagai perisa dengan harga serendah RM5.80 sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Jom Cha Sdn. Bhd., Eddie Lim Peng Hun berkata, fokus pelancaran produk baharu ini adalah untuk memberikan pelanggan sesuatu yang mudah, tulen dan lazat.
Katanya, yogurt baharu ini lebih daripada sekadar pencuci mulut biasa malah akan membawakan satu pengalaman baharu buat pengguna dengan kandungan probiotik dan rendah lemak yang terdapat di dalamnya.
“Tekstur lembut, baldu dan rasa yang menyegarkan menjadikan ia adalah pilihan ideal untuk hari musim panas atau sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan berat.
“Produk ini dicipta untuk mengubah cara anda menikmati yogurt kerana ia hanya tersedia dalam perisa asli. ‘Yoghurt Soft Serve’ kami dibuat menggunakan yogurt segar ladang dan susu segar, terus dari ladang kami sendiri.
“Komitmen ini bagi memastikan para pelanggan benar-benar merasakan perbezaan sekali gus menggalakkan mereka datang semula berkali-kali. Kami percaya bahawa dengan menggabungkan tenusu terbaik dengan ramuan yang sempurna, kami boleh meningkatkan dan mengubah pengalaman boba anda,” katanya.
Dalam pada itu, Eddie berkata, walaupun Jom Cha agak baharu, reputasi kukuh jenama Farm Fresh telah membantunya berkembang pesat di Malaysia.
Jelasnya, keinginan Farm Fresh untuk meningkatkan pendapatan syarikat dan peniaga-peniaga yang mengedarkan dari rumah secara keseluruhannya telah mendorong penciptaan Jom Cha.
“Jom Cha berfungsi sebagai lanjutan dari Farm Fresh, menyumbang kepada usaha membina jenama kumpulan tenusu. Walaupun Farm Fresh menyasarkan pasaran peniagaan ke perniagaan (B2B), Jom Cha memberi tumpuan kepada perniagaan ke pelanggan (B2C).
“Kami akan terus mencari lokasi strategik dalam pusat beli-belah untuk mengukuhkan lagi jenama Jom Cha. Kami akan berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan kami.
“Kami kekal optimis dengan sektor makanan dan minuman yang mana pengguna semakin dilihat mencari produk berpatutan atau mampu milik disamping mengutamakan pilihan yang lebih sihat,” katanya.
Selain itu, Jom Cha turut memperkenalkan ‘Milk on Tap’ yang membolehkan pelanggan mengisi botol kaca mereka dengan susu segar di kebanyakan cawangannya.
Bukan itu sahaja, Jom Cha juga bakal melancarkan produk tambahan, serta topping seperti Farm Fresh Choco Malt dengan sos Biscoff buat peminat setia Boba Segar dari Ladang.
Bagi meraikan pelancaran ‘Yoghurt Soft Serve’, pelanggan digalakkan untuk mengunjungi pusat Jom Cha terdekat bagi menikmati jualan eksklusif dan acara istimewa di kedai-kedai seluruh negara. – KOSMO! ONLINE