fbpx

‘Suami saya Arman San telah pergi selama-lamanya…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Arman San (kanan) bersama isteri, Norazliana dan anak mereka ketika bercuti di Tasik Cermin, Ipoh, Perak.

JOHOR BAHRU – Isteri kepada Penyelam Ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I Arman San Hermansa yang maut ketika operasi salvaj KD Pendekar harap masyarakat tidak buat andaian tentang insiden menimpa suaminya.

Norazliana Bakri, 25, yang menggunakan akaun Hanaa Ariana di Facebook turut memberitahu reda dengan takdir yang berlaku terhadap suaminya, Arman San, 28.

“Saya sebagai isteri arwah, meminta jangan ada pihak yang membuat sebarang andaian terhadap insiden yang berlaku kepada arwah suami saya.

“Insiden ini juga masih dalam siasatan, biarlah pihak atasan dan juga kru-kru yang bertugas pada masa itu yang mengetahui punca insiden dan sebagainya.

“Saya berharap tidak ada mana-mana pihak yang mengeluarkan spekulasi tidak benar akan kesahihan tentang insiden ini,” tulisnya dalam laman Facebook berkenaan.

Norazliana turut meminta masyarakat memahami keadaan dia dan ahli keluarganya pada ketika ini.

“Suami saya Arman San telah pergi meninggalkan saya dan anak buat selama-lamanya.

“Ya Allah, ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat istirehatnya. Aku reda,” jelasnya.

Semalam, Arman San dilaporkan hilang di dasar laut sebelum ditemui maut ketika melakukan operasi salvaj KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI