LUNDU – Kerajaan dijangka melaksanakan projek pembinaan Jambatan Selampit pada Oktober nanti, sekali gus menamatkan penantian sekian lama penduduk Kampung Selampit untuk mendapatkan infrastruktur itu sebagai penghubung utama mereka bagi menyeberangi Sungai Batang Kayan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata pembinaan jambatan itu akan bermula selepas bayaran pampasan dibuat kepada pemilik tanah terlibat, yang dijangka pada September.
Katanya, ia kerana lokasi pembinaan jambatan berkenaan melibatkan tanah milik beberapa individu, yang memerlukan bayaran pampasan sebelum kerja pembinaan dijalankan.
“Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengenal pasti kawasan di hulu sungai yang sesuai untuk pembinaan jambatan berkenaan.
“Ketika ini, JKR sudah dalam proses untuk penyerahan kontrak kepada kontraktor terpilih dalam masa terdekat,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada keluarga mangsa bot karam Sungai Kayan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di SMK Senibong di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Billy berkata projek pembinaan itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dengan kos sedia ada yang diluluskan berjumlah RM27.9 juta.
Dalam tragedi kira-kira pukul 6.30 pagi pada 20 Ogos lalu, tiga pelajar dari Kampung Selampit mati lemas selepas perahu tambang dinaiki mereka karam di Sungai Kayan, ketika bersama-sama 15 lagi pelajar lain hendak pergi ke sekolah di SMK Senibong. – KOSMO! ONLINE