fbpx

‘Insya-Allah faham’ jawab lelaki Rohingya selepas dituduh bunuh isteri, anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdu Gapur dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar bagi pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya serta kes dadah, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Seorang lelaki gelandangan etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya di sini, baru-baru ini.

Tertuduh, Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, yang merupakan warga Myanmar didakwa membunuh isterinya, Nor Begam Md. Yasin, 34, di belakang sebuah bangunan kosong di Lebuhraya Sultan Abdul Halim antara pukul 11.30 malam, 18 Ogos hingga pukul 12 tengah malam, 19 Ogos lalu.

Dia juga dituduh melakukan perbuatan sama ke atas anak perempuannya, Lianaata, 10, di lokasi dan masa sama.

Abdu Gapur turut dituduh membunuh seorang lagi anaknya, Abdul Hakim berusia setahun 11 bulan di hadapan sebuah premis menjual barangan elektrik dan perkakasan di Jalan Pegawai, di sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam, 19 Ogos lalu.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan.

Abdu Gapur mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya, walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pada prosiding itu, tertuduh mendakwa mengalami masalah pada telinga selepas ditanya sama ada memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia kemudian memaklumkan memahami pertuduhan itu dengan berkata ‘insya-Allah… insya-Allah faham (pertuduhan)’.

Selain itu, dia juga dituduh memasukkan dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 1.50 pagi, 20 Ogos lalu dengan tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB akta sama iaitu bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pertuduhan membunuh isteri dan anak berusia setahun sebulan dilakukan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor manakala pertuduhan membunuh anak perempuan dan kes dadah dibacakan di hadapan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah.

Mahkamah menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes termasuk bagi mendapatkan laporan bedah siasat, forensik dan patologi dengan tertuduh tidak diberi jaminan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI