MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag berada dalam keadaan cukup tertekan ketika ini menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Old Trafford Ahad nanti.
The Red Devils bakal berdepan ‘amukan’ daripada penyokong mereka sendiri selepas tewas mengejut 1-2 kepada Brighton minggu lalu meskipun memulakan saingan musim ini dengan mencatat kemenangan ke atas Fulham.
Legenda United, Gary Neville percaya bekas pasukannya itu berdepan tekanan cukup tinggi menjelang kunjungan Liverpool ke Old Trafford memandangkan mereka sudah berbelanja besar mendapatkan pemain baharu.
“Sukar untuk saya gambarkan mengenai keputusan dengan Brighton sebelum ini. Keputusan seri sebenarnya sudah memadai kerana Brighton merupakan pasukan yang sangat bagus dan kami sentiasa bergelut bertemu mereka.
“Sekarang kami perlu berdepan Liverpool selepas keputusan yang cukup menyedihkan ini, pastinya tekanan cukup tinggi kepada United. Ten Hag juga pastinya tidak senang duduk pada ketika ini,” katanya.
Tambahnya, United wajib mencatat kemenangan ke atas The Reds bagi menyuntik semangat serta keyakinan dalam pasukan sebelum pemain-pemain menggalas tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.
“Perlawanan minggu ini sangat penting sebelum saingan berehat bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa. United perlu menerapkan corak permainan sesuai bagi mendapatkan rentak konsisten,” ujar Neville. – AGENSI