MONTEVIDEO – Penyerang Liverpool, Darwin Nunez digantung lima perlawanan oleh Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) ekoran tindakannya bergaduh dengan penyokong semasa aksi separuh akhir Copa America menentang Colombia pada Julai lalu.
Selain digantung lima perlawanan antarabangsa yang menyaksikannya terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026, Nunez juga dikenakan hukuman denda sebanyak AS$20,000 (RM86,869).
Bagaimanapun, hukuman itu tidak membabitkan perlawanan domestik sekali gus tidak akan memberi kesan kepada pembabitannya bersama The Reds.
Pada perlawanan itu, Colombia meraih kemenangan 1-0, namun penamat aksi berkenaan dicemari apabila beberapa pemain Uruguay dan kakitangan pasukan memanjat ke bahagian tempat duduk hingga tercetus situasi tegang dengan penyokong.
Dalam insiden berkenaan, Nunez dirakam terbabit melakukan serangan fizikal apabila dilihat melemparkan kerusi ke atas penyokong.
Selain Nunez, pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur turut dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda berjumlah AS$16,000 (RM69,492).
Tiga lagi pemain Uruguay yang terlibat dalam insiden berkenaan iaitu Jose Maria Gimenez, Mathias Olivera dan Ronald Araujo masing-masing digantung tiga perlawanan serta denda sebanyak AS$12,000 (RM52,123).
Bukan itu sahaja, Conmebol turut menjatuhkan hukuman keada enam lagi pemain Uruguay seperti Matias Vina, Sebastian Caceres, Brian Rodriguez, Emiliano Martinez, Santiago Mele dan Facundo Pellistri didenda berjumlah AS$5,000 (RM21,718).
Persekutuan Bola Sepak Uruguay tidak terlepas apabila turut dijatuhkan denda AS$20,000 (RM86,872), manakala seorang pegawainya, Marcelo Garcia pula digantung enam bulan. AGENSI