KUALA LUMPUR – Mengutamakan kesejahteraan diri, penyanyi Andi Bernadee enggan terlampau berkongsi hal peribadi yang berisiko mencetuskan perkara negatif.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangil, 33, berkata situasi tersebut membuatkannya seolah-olah tenggelam timbul dalam media sosial apabila hanya fokus terhadap kerjaya.
“Ramai mengetahui beberapa peristiwa yang berlaku kepada saya sebelum ini. Atas sebab itu saya pilih untuk kongsi mengenai kerjaya sahaja.
Dahulu sampai hal di bilik tidur pun saya kongsikan yang kemudian menarik aura negatif. ‘Mindset’ saya sekarang hanya mahu kongsi benda berkenaan nyanyian.
“Jika terlalu banyak mempamerkan hantaran berkaitan peribadi, saya rasa keadaaan itu boleh mengundang kepada perkara negatif,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia (UMM), hari ini.
Menurut artis kelahiran Sabah itu, kehidupannya semakin tenang selepas ‘menapis’ perkara yang lebih menjadi keutamaan seiring peningkatan usia.
Biarpun menyedari kepentingan media sosial, Andi berkata dia kini lebih matang dalam membuat pertimbangan termasuk lebih berjaga-jaga sebelum memuat naik sebarang hantaran.
“Saya tak akan buat lagi video merapu macam ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya pun tak terkejar ‘trend‘ sekarang. Orang ikuti pempengaruh, dah tak tengok sangat kehidupan artis kan?
Selaku penyanyi saya kena tunjuk diri saya sebagai penyanyi dan tidak buat konten macam dahulu. Saya sekarang makin matang berfikir mana yang terbaik untuk diri saya.
“Buat masa ini saya lebih selesa sebagai penyanyi dan pelakon, tapi tengoklah jika saya terbuka hati buat kandungan di rumah seperti ketika PKP,” ujarnya.
Berkongsi pula kontrak bersama syarikat rakaman baharu, Andi yakin perjanjian selama tiga tahun itu mampu meningkatkan momentum karier nyanyiannya.
Atas sebab tersebut, penyanyi Satu Peluang itu tidak menerima tawaran berlakon sepanjang tahun ini bagi memberi fokus kepada penghasilan lagu baharu.
Saya kira persalinan ke Universal Music Malaysia sebagai berubah angin untuk anjakkan baru dalam kerjaya nyanyian.
“Bersama mereka saya nampak arah tuju selepas ini dengan pelbagai perancangan terutama penerbitan lagu baharu yang mendorong saya tidak ambil tawaran berlakon,” katanya.
Sebelum ini Andi pernah mendedahkan berdepan gangguan misteri yang menjejaskan kesihatan serta keadaan mentalnya.- KOSMO! ONLINE