TUAH berpihak kepada Harimau Malaya apabila Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengambil keputusan untuk meminda tarikh sepak mula kejohanan Piala Asean 2024 yang akan dimulakan pada Disember ini.
Secara tidak langsung, pengendali negara, Pau Marti Vicente mempunyai ‘masa tambahan’ untuk menyiapkan skuad lebih baik seperti yang diharapkan oleh AFF selaku penganjur pertandingan untuk semua pasukan yang bersaing.
Berdasarkan kenyataan, penundaan itu dibuat selepas mengambil kira permohonan daripada pasukan bertanding memandangkan tarikh asal terlalu singkat berbanding ketetapan aksi di peringkat lebih tinggi.
“Pusingan kelayakan akan kekal pada 8 dan 15 Oktober, manakala aksi peringkat kumpulan akan bermula pada 8 Disember. Ia diikuti aksi timbal balik separuh akhir pada 26, 27, 29, dan 30 Disember.
“Perlawanan akhir pula akan dimainkan pada 2 dan 5 Januari,” menurut kenyataan daripada AFF yang mahukan setiap negara dapat menurunkan skuad terbaik bagi menjaga tahap kompetitif pertandingan.
Mengikut perancangan asal, Piala Asean 2024 dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember, namun Indonesia yang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 terpaksa bermain dua perlawanan sepanjang November.
Selain dua perlawanan di Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung minggu depan, Harimau Malaya mempunyai misi penting memperbaiki ranking dan perlu memastikan kejayaan pada empat perlawanan sepanjang kalendar antarabangsa pada Oktober serta November ini.
Harimau Malaya kini memburu peluang untuk berada dalam balang 1 pada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan pada Disember nanti.