SARAT seni budaya. Itu istilah tepat bagi menggambarkan persembahan deretan penyanyi berstatus mega dalam Konsert Kejar Mimpi Untuk Indonesia yang menghimpunkan penonton daripada pelbagai lapisan usia, siap patuh berpakaian tema tradisional.
Gelanggang De Tjolomadoe, Solo, Indonesia menjadi saksi persembahan cemerlang para vokalis handal yang disambut gema suara peminat, sebaik seorang demi seorang penyanyi membuka langkah menguasai pentas.
Dibawakan khas jenama bank gergasi CIMB, konsert tersebut merupakan antara inisiatif bahkan komitmen institusi kewangan tersebut menerusi CIMB Niaga untuk selalu mendukung seniman muzik dan pemain industri kreatif.
Jadi, tidak hairan, pentas yang didekorasi sempurna seiring barisan penyanyi papan atas tersebut berjaya menarik seramai 1,800 penonton yang kesemuanya berbusana tradisional.
Melankolik
Tepat pukul 8 malam, pentas keramat tersebut terlebih dahulu dibuka dengan persembahan Marcell yang melantunkan tiga alunan merdu menerusi Ketika Kau Menyapa, Firasat dan Hanya Memuji.
Suara seksinya kekal berbisa malah nyaris membuat penonton yang patuh dengan mood gelanggang budaya itu ingin berteriak menyanyi bersama.
Persembahan diteruskan lagi dengan penyanyi cilik, Prince Poetiray dengan lagu I’ll Be There, Mengejar Matahari dan I Believe I Can Fly yang membuatkan audiens ‘mencair’ melihat telatah comel kanak-kanak itu.
Belum sempat menarik nafas panjang, momentum konsert dideraskan dengan persembahan penyanyi Maudy Ayunda yang melantunkan alunan merdu menerusi Perahu Kertas dan Zamrud Khatulistiwa.
Usai persembahan, Maudy lantas memanggil pemenang Kejar Mimpi Rising Start 2024 untuk tampil bersama di atas panggung junjungan budaya itu.
Kejar Mimpi Rising Start merupakan program pencarian bakat nyanyian dibawakan CIMB Niaga dan CIMB Group yang telah dilaksanakan di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Menariknya, pemenang program tersebut merupakan peserta dari Malaysia iaitu Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain.
Malam itu, dia bersama Jesica Theresia Koloay, Annisa Anastasia Ayu Jamaluddin dari Indonesia dan Marvin Restituto llagan dari Filipina memukau penonton dengan lagu Kejar Mimpi dan This Is Me membuktikan selayaknya mereka bergelar pemenang.
Suasana kemudian digamatkan dengan persembahan Cakra Khan menerusi dendangan Show Must Go On, Love of My Life dan Radio Gaga.
Seperti biasa, kematangan Cakra dalam mengendali pentas diakui hebat.
Bayangkan, penonton yang awalnya sopan duduk di kerusi menjadi tidak keruan dan bangun melompat menari bersama iringan lagu dendangan Cakra.
Hiburan tanpa henti, gelak tawa disambung pula dengan kemunculan pelawak Gilang Dirga menyanyikan lagu Separuh Aku meniru suara Ariel Noah dan suara sejumlah penyanyi terkenal lain.
Gilang seterusnya bersama penyanyi keroncong, Woro Mustiko menyanyikan lagu koplo Rungkat dan Pamer Bojo.
Meskipun patuh dengan tertib gelanggang persis Istana Budaya di Malaysia, alunan muzik tradisional bersulam paduan orkestra, hampir mustahil mampu membuatkan penonton berdiam diri seperti patung cendana.
Ketika itu, penulis turut berdiri dan menunjukkan jurus goyangan tersendiri.
Diiringi 47 barisan pemuzik handal, Magenta Orchestra bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Andi Rianto, penonton kemudiannya terkesima dengan penampilan tiga diva popular Indonesia.
Paduan tiga diva
Seawal langkah pertama ke pentas, si cantik Tiara Andini berjaya membuat penonton berteriak seperti kerasukan menerusi lagu Merasa Indah, Kanji Setia dan Kupu-Kupu.
Sejurus itu, kemunculan Ruth Sahanaya membius ribuan penonton dengan lagu Kaulah Segalanya, Pesta, Astaga, Ku Ingin dan Mengertilah Kasih yang bagai membawa ke terowong masa, mengimbas kisah cinta yang entah berpihak kepada siapa.
Adrenalin konsert diteruskan lagi dengan tenaga maksimum daripada penampilan Rossa menerusi lagu Sakura, Aku Bukan Untukmu dan Ayat-Ayat Cinta. Seperti disangka, nyanyiannya menjadi ‘sing along’
Gabungan vokal triniti Tiara, Rossa dan Ruth Sahanaya melantunkan lagu Bengawan Solo dan Ain’t No Mountain selayaknya dijadikan ‘statement’ penutup konsert penuh gilang gemilang tersebut.
Usai persembahan tiga diva tersebut, semua penyanyi termasuk pemenang Kejar Mimpi Rising Start 2024 tampil ke pentas dengan membawakan lagu Bendera.
Berpeluang menyaksikan secara langsung, penulis terkesima, junjungan adat dan budaya mereka sangat kuat dan wajar dicontohi penyanyi negara kita yang tidak kurang kepelbagaian tradisi masyarakat berbilang kaum.
Perpaduan memukau aksi panggung deretan penghibur seiring busana eksklusif mencerminkan budaya selain dekorasi panggung yang menawan, konsert dua jam itu berlangsung sempurna dengan jayanya.