SEGAMAT – Lebih 200,000 penduduk Segamat digemparkan dengan dentuman dan gegaran seakan-akan letupan bom dan gempa bumi lewat petang semalam.
Menurut Nur Halimatul Shahana Suanda, 26, dia antara penduduk yang menjadi saksi kejadian berkenaan di sekitar Buloh Kasap di sini yang mana dia turut terdengar bunyi kuat letupan misteri pada pukul 3.50 petang.
“Saya ingatkan ada gempa bumi selepas bunyi letupan kuat tujuh kali berturut-turut petang semalam. Ketika kejadian, saya berada di rumah tengah tidurkan anak dalam buaian yang dalam ketakutan sebaik mendengar letupan kuat itu.
“Letupan kuat itu menyebabkan bumbung rumah saya bergegar. Saya fikirkan ada berlaku gempa bumi, guruh atau hendak hujan namun cuaca ketika itu cerah.
“Sebelum itu, saya ada dengar bunyi kuat, tetapi saya turut sangkakan ia bunyi meriam tentera untuk latihan sambutan Hari Kemerdekaan sabtu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 5, Buloh Kasap di sini hari ini.
Nur Halimatul yang juga seorang suri rumah berkata, dia hanya menyedari bunyi misteri letupan itu selepas menerima panggilan telefon daripada beberapa kenalannya yang mengalami perkara sama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Abdullah, Segamat Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hazim Abd. Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya bomba setakat ini belum menerima sebarang panggilan kecemasan.
“Pihak bomba belum menerima sebarang panggilan kecemasan atau kecederaan berhubung gegaran tersebut. Pihak bomba turut menafikan dentuman dan gegaran itu berpunca daripada aktiviti latihan tembakan meriam sempena Hari Kemerdekaan tidak lama lagi,” katanya.-KOSMO! ONLINE