fbpx

Berang sering ditegur salah, penganggur cederakan tiga rakan serumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki berusia 31 tahun 'berang', cederakan tiga rakan serumah kerana sering ditegur dan berselisih faham. FOTO ihsan PDRM

AMPANG – Seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun diberkas gara-gara mencederakan tiga rakan serumah dengan pisau dan kayu di kediaman sekitar Jalan Bunga Tanjung 12, Taman Muda, Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada anggota polis Pusat Kawalan Daerah Ampang Jaya berhubung kejadian terbabit.

“Lebih kurang pukul 2.45 petang semalam, dua lelaki asing berusia 18 dan 28 tahun bersama suspek, 31, yang memotong buah dengan menggunakan pisau di ruang tamu.

“Akibat berlaku perselisihan faham antara suspek dan kedua-dua mangsa, mereka sempat bergelut sebelum dicederakan suspek dengan menggunakan sebilah pisau dan kayu.

“Seorang lagi mangsa warga asing berusia 30 tahun telah sampai ke rumah turut dicederakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, mangsa mengalami kecederaan di leher, tangan dan beberapa bahagian badan.

Dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut manakala seorang lagi sebagai pesakit di hospital sama.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek tinggal serumah, manakala motif kejadian disebabkan suspek sering ditegur atas pelbagai sebab dan berselisih faham berkenaan hal keluarga.

“Bertindak atas maklumat diterima, kita menahan suspek yang tidak mempunyai pekerjaan di Jalan Bunga Tanjung 12, Taman Muda, Pandan Indah pukul 4 petang semalam.

“Kita merampas sebilah pisau, dua batang kayu dan dua helai pakaian bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Suspek negatif dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

‘Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan merujuk kepada mencuba membunuh orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI