Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi platform terbaik bagi memformalkan sektor gig, seterusnya memelihara hak pekerja menerusi perlindungan undang-undang.
Dalam konteks ini, seminar bertaraf antarabangsa itu mampu menjadi ‘batu lonjatan’ bagi membuka jalan membina dasar komprehensif seterusnya menjaga kebajikan pekerja gig khususnya 3.15 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, misi ISSA 2024 bukan sahaja membantu membina ekonomi gig lebih adil, sebaliknya berupaya merapatkan jurang antara sektor formal dan tidak formal dalam pasaran buruh semasa.
Menurut Ahmad Zahid, sebagai langkah signifikan memformalkan ekonomi gig, Malaysia kini merencanakan strategi semasa meliputi kewujudan perlindungan undang-undang dan hak jelas bagi pekerja gig.
Katanya, perlindungan undang-undang dan hak pekerja itu dilaksanakan melalui pembentukan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang mana rang undang-undang (RUU) berkaitan dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober ini.
“Secara dasarnya, Malaysia kini proaktif dalam penubuhan Akta Pekerja Gig yang berfokuskan kepada p-hailing dan e-hailing.
“Akta baharu yang diterajui Kementerian Sumber Manusia merupakan langkah perintis, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara terawal memperkenalkan akta melindungi kepentingan pekerja gig,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap bagi merasmikan Seminar Teknikal ISSA 2024 di Pusat Dagangan Dunia di sini kelmarin.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Presiden ISSA yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KumpulaPERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Seminar Teknikal ISSA 2024 diadakan selama dua hari bermula Selasa yang turut dihadiri wakil daripada 25 negara antarabangsa memberi tumpuan kepada perbincangan mewujudkan masa depan lebih terjamin kepada pemain industri gig.
Bertemakan ‘Perlindungan Sosial bagi Individu Bekerja Sendiri dan Pekerja Platform’, dialog antarabangsa itu turut bertujuan mencapai beberapa objektif utama antaranya meningkatkan kesedaran berhubung inisiatif dijalankan PERKESO dan rakan kongsi keselamatan sosial lain.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, pekerja gig juga bakal diberikan pilihan penjagaan kesihatan dan insurans yang berpatutan melalui skim keselamatan sosial komprehensif diuruskan PERKESO.
“Kami juga berhasrat memupuk literasi kewangan, simpanan persaraan selain menawarkan program pembangunan dan latihan kemahiran berterusan yang menggalakkan pertumbuhan mampan pekerja gig,” katanya.
Untuk rekod, data sehingga Ogos mendedahkan bahawa 25.1 peratus atau 3.15 juta daripada 12.56 juta tenaga kerja Malaysia adalah pekerja sendiri termasuk kira-kira 1.5 juta pekerja bebas.
Bagaimanapun, hanya 21.58 peratus atau 679,830 individu bekerja sendiri mempunyai perlindungan PERKESO yang aktif dengan 32.78 peratus (222,876 orang) adalah pekerja gig.
“Angka itu menzahirkan jurang ketara dalam perlindungan sosial sebahagian besar tenaga kerja kita yang sentiasa berubah, sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak untuk perlindungan pekerja gig,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Steven Sim menjelaskan, akta pekerja baharu bagi melindungi keselamatan pemain industri gig yang akan diwujudkan kelak bakal menggariskan sebanyak empat teras utama.
Menurut beliau, empat teras itu merangkumi definisi pekerja gig atau pekerja platform; pampasan minimum dalam bentuk pendapatan buat pekerja p-hailing dan e-hailing selain mekanisme aduan dan perlindungan keselamatan sosial terutama dalam hal insurans sosial serta pencen.
Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan juga bercadang membentangkan RUU tersebut di Parlimen menjelang hujung tahun ini.
“Kementerian baru saja selesai mengadakan bengkel penggubalan RUU pada bulan ini. Rangka awal akta yang dicadangkan sudah pun dibangunkan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kementerian akan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan lain termasuk kementerian berkaitan, agensi, wakil daripada kesatuan sekerja dan persatuan pekerja gig.
“Rundingan termasuk dengan wakil majikan dan pengendali platform, serta kumpulan berkepentingan lain mengenai rang undang-undang baharu ini,” katanya.
Jelasnya, RUU itu disifatkan sebagai usaha menyeluruh kerajaan untuk memastikan ekosistem pekerjaan baik, seterusnya memberi perlindungan kepada kira-kira 1.1 juta daripada tiga juta orang yang bekerja sendiri di negara ini.
“Harapan saya adalah negara seperti Malaysia berusaha mengemas kini perundangan buruh berkaitan ekonomi abad ke-21 ini.
“Jadi, ISSA dapat memainkan peranan bukan saja dalam menyediakan panduan dan idea, tetapi berkongsi amalan membantu kerajaan membentuk perundangan serta dasar tempatan mengikut acuan sendiri,” katanya. -KOSMO! ONLINE