fbpx

Anjur Sukan SEA kali ketujuh bukti kualiti Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA pernah bergelar juara keseluruhan dengan 145 emas, 92 perak, 86 gangsa ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyambut baik keputusan menganjurkan Sukan SEA ke-34 di Malaysia pada 2027 dengan menganggap sebagai peluang keemasan untuk merancakkan kembali industri sukan tanah air.

MOM percaya penganjuran buat kali ketujuh di Malaysia itu bukan sekadar acara sukan, tetapi mampu membawa impak besar dalam aspek politik dan ekonomi negara, sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai kuasa serantau.

“MOM merakam penghargaan tinggi kepada kerajaan Malaysia kerana bersetuju menganjurkan edisi 2027.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempromosikan sukan dan memperkukuh kerjasama serantau yang berterusan,” menurut kenyataan MOM.

Kejayaan meraih hak penganjuran Sukan SEA 2027 oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 2022 adalah bukti keyakinan komuniti sukan antarabangsa terhadap kemampuan negara sebagai tuan rumah berprestij.

Selaras dengan penganjuran Sukan SEA 2025 di Thailand dan Singapura pada 2029, MOM optimis Sukan SEA 2027 akan menjadi satu lagi pencapaian bersejarah, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Malaysia di persada dunia.

Dengan rekod cemerlang dalam penganjuran Sukan SEAP dan Sukan SEA pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, Malaysia sekali lagi dijangka mencipta kejayaan gemilang.

Ketika menjadi tuan rumah pada 2017, Malaysia berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dengan kutipan pingat yang membanggakan iaitu 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI