MACHANG – Terpaksa berpisah dengan anak tunggal selama lapan bulan menyebabkan seorang prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini, bertekad untuk bebas daripada terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jie, 48, meskipun sudah dua kali dia dijel, namun ini adalah kali pertama dia dipenjara dalam tempoh yang agak lama termasuk tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama anak.
Katanya, selepas dipilih menyertai Program Pelepasan Orang Bebas Berlesan (OBB) sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani, ia telah membuka lembaran baharu buat dirinya untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Saya bertekad untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama kerana sesiapa sahaja yang terjebak dengan dadah pasti akan tertangkap sama ada cepat atau lambat.
“Saya juga mengakui agak tersentuh setiap kali dimaklumkan oleh ibu bahawa anak saya sering bertanya di mana keberadaan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani di PPA Machang, di sini hari ini.
Berkongsi kisahnya, Jie memberitahu, dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak 1998 sebelum dia mula mengedar dadah demi untuk mengejar kemewahan meskipun ketika itu sudah bekerja tetap sebagai konsultan.
Jie berkata, dia akan dibebaskan pada 21 Disember depan dan tidak sabar untuk berjumpa dengan anak perempuan berusia 10 tahun yang kini tinggal bersama bekas isteri di Melaka selepas bercerai pada 2019.
Katanya, menerusi Program Pelepasan OBB, dia akan bekerja di sebuah syarikat besi di Bachok sementara menunggu tarikh dibebaskan.
Sementara itu, Pengarah Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd. Nasir Yusof, berkata, seramai 14 prospek PPA Machang diberi pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani hari ini. – KOSMO! ONLINE