JAKARTA – Agensi antirasuah Indonesia mahu meminta penjelasan daripada anak bongsu Presiden Joko Widodo (Jokowi) berhubung penggunaan sebuah jet peribadi dalam perjalanan ke luar negara baru-baru ini, lapor portal berita Arab News semalam.
Menurut Timbalan Ketua Agensi Pembanteras Rasuah, Alexander Marwata, pihaknya juga mahu Kaesang Pangarep, 29, mendedahkan siapa yang membiayai kos penerbangan itu.
Komen itu dibuat beberapa hari selepas protes berlaku di seluruh negara sehingga memaksa Parlimen menangguhkan rancangan bagi membenarkan Kaesang bertanding dalam pilihan raya wilayah.
“Rakyat ingin tahu sama ada kemudahan yang digunakan itu ada kaitan dengan ibu bapanya,” kata Marwata.
Butiran tentang penerbangan itu yang disiarkan dalam hantaran media sosial isteri Kaesang telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Jika kemudahan itu ada kaitan dengan tugas ibu bapanya, ia harus dilaporkan sebagai menerima hadiah yang tidak wajar.
“Namun, jika mereka tidak melakukannya, tidak ada masalah,” ujar Marwata.
Setakat ini, tidak jelas bila Kaesang akan disoal siasat, manakala pejabat presiden enggan mengulas isu tersebut. – AGENSI