KUALA LUMPUR – Bintang skuasy negara, Aifa Azman, memulakan langkah kanan dalam Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2024 dengan kemenangan bergaya pada saingan pembukaan sekali gus melayakkannya mara ke suku akhir.
Meskipun ketinggalan 2-5 pada awal set pertama, Aifa berjaya bangkit dan memenangi set tersebut sebelum menguasai set-set berikutnya dengan keputusan 11-7, 11-3, 11-2 ke atas Harleein Tan.
“Saya tidak pernah bermain dengan Harleein, jadi saya cuba memahami corak permainannya pada awal perlawanan,” kata Aifa.
Sebagai pilihan pertama, Aifa menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya, namun enggan membiarkan tekanan tersebut menjejaskan prestasinya dan memilih untuk menumpukan perhatian kepada kejohanan yang lebih besar.
“Saya tidak mahu letakkan sebarang tekanan pada diri sendiri. Fokus saya adalah pada kejohanan yang lebih besar dan untuk memastikan saya kekal konsisten dalam setiap perlawanan,” jelasnya.
Aifa turut mengakui bahawa pusingan seterusnya bakal menguji kemampuannya apabila bakal berdepan pemain berbakat seperti Yashmita, namun dia bersedia dengan strategi yang dirancang rapi.
“Esok akan lebih sukar, tetapi saya akan pastikan saya bersedia dengan strategi yang baik,” tambah Aifa menunjukkan kesediaannya untuk menghadapi pertandingan yang lebih mencabar.
Kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu telah menarik penyertaan 12 pemain dari pelbagai negara bagi merebut hadiah kemenangan bernilai RM70,000 sempena ulang tahun penubuhan ke-25 Persatuan Skuasy Negeri Sembilan.
Pada edisi terdahulu, kejohanan itu menyaksikan Abhay Singh dari India mendominasi gelaran kategori lelaki pada 2022 diikuti Ali Hussein dari Mesir pada 2023, manakala gelaran Wanita pernah disandang oleh Aira Azman pada 2022 dan S. Sivasangari setahun kemudian. – KOSMO! ONLINE