KUALA LUMPUR – Menjanjikan tawaran pekerjaan, sebelum mengeksploitasi wanita warga asing untuk dijadikan pekerja seks.
Demikian modus operandi sindiket pemerdagangan orang yang dibongkarkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan sebuah kedai tiga tingkat, sekitar ibu negara, semalam.
Serbuan bermula pukul 10 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, semua mangsa membabitkan lima warga Vietnam dan seorang Thailand berusia 23 hingga 40 tahun.
Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ yang mengawal wanita warga asing selain mendapatkan keuntungan hasil eksploitasi.
“Sindiket mempromosi mangsa ini melalui aplikasi dalam talian di mana wanita yang dipilih akan diuruskan langganannya di premis tersebut.
“Sindiket telah mengaut keuntungan berlipat ganda hasil daripada mengeksploitasi mangsa dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM240 bagi satu jam langganan, sebaliknya mangsa hanya diberikan upah sebanyak RM100 bagi tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Ruslin, pergerakan kesemua wanita ini terbatas dan dikawal sepenuhnya oleh ‘handler’ (suspek).
“Makanan juga hanya dipesan melalui aplikasi p-hailing, tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan diri selain pasport turut dipegang oleh sindiket,” ujarnya.
Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.
“Imigresen amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil.
“Ia selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” ujarnya.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE.