fbpx

Wanita Indonesia dicari, bantu siasatan mayat bayi ditanam bawah simen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI penemuan mayat bayi di sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh hari ini.

IPOH – Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah lantai simen di pekarangan sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita itu merupakan penyewa terakhir rumah berkenaan dan lari meninggalkan kediaman itu sejak sebulan lalu.

“Berdasarkan keterangan pemilik rumah, kediaman yang dibeli sejak 20 tahun lalu itu disewa kepada seorang wanita warga Indonesia dengan kadar sewa bulanan sebanyak RM400.

“Dia yang tinggal selang sebuah rumah dari lokasi kejadian memberitahu sering bertemu wanita terbabit untuk mengutip sewa dan mengetahui penyewa terbabit sedang hamil,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal, tempat kejadian merupakan sebuah rumah teres satu tingkat di mana mayat bayi itu dijumpai di bawah lantai simen di pekarangan rumah.

Beliau berkata, mayat itu ditemui oleh penyewa baru yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sekitar pukul 11 pagi tadi.

“Ketika lelaki itu sedang mengorek simen di hadapan ruang tempat letak kereta di pekarangan rumah, dia telah menjumpai cebisan kain sarung yang tertanam.

“Lelaki terbabit kemudiannya menarik kain itu dan menjumpai mayat kecil seperti bayi di sebalik kain tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan awal pakar patalogi ke atas mayat bayi itu mendapati ia merupakan seorang bayi perempuan dan dipercayai berusia tujuh bulan ketika dilahirkan.

“Mayat bayi itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI