PETALING JAYA – “Kami pun berdebar dan takut juga masa turun ke bawah tapi inilah tugas kami”.
Demikian kata Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba I, Alimaddia Bukri yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran di TikToknya, Alimaddia berkongsi keadaan sebenar dihadapi pasukan ‘wira merah’ itu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) yang memasuki hari keenam.
“Beginilah keadaan sebenar yang kami alami, risiko operasi kami yang jarang kami tunjuk.
“Sebab itulah ada ketika kami tidak benarkan petugas ramai masuk ke ‘ground zero’ ini kerana bahaya,” katanya.
Menurut Alimaddia, setiap risiko dan tindakan dalam operasi itu dibuat menerusi perbincangan dengan pihak pakar sebelum ia dilaksanakan.
Ia berikutan, katanya, bomba sentiasa terdedah kepada bahaya semasa operasi dan penyakit yang memudaratkan.
“Dalam (bawah tanah) ini, ada saliran kumbahan dan saliran lain. Memang dalamlah juga,” jelasnya.
Dalam pada itu, rata-rata melahirkan rasa kagum dengan pengorbanan anggota bomba untuk mencari mangsa, namun ada yang meminta pencarian dihentikan ekoran bahaya dan risiko yang dihadapi.
“Menitik air mata bila tengok pengorbanan mereka menyelam di tempat yang sempit dgn dikelilingi air kumbahan. Semiga semuanya dilindungi Allah dan misi ini temui kejayaan dengan segera,” kata Ziha.
“Pendapat saya, hentikanlah pencarian sebab dah beberapa hari dan mungkin mayat sudah beruah bentuk,” ujar Peanut.
Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan bahawa pasukan bomba akan meneruskan pencarian dengan matlamat untuk menemui mangsa.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku. – KOSMO! ONLINE
@alimaddia Replying to @Mieyra Kawasan Pencarian diperluas, SAR di setiap main-hole sepanjang saliran. #runtuhantanah #masjidindiakl #ppda #storm #tanahjerlus #fypシ #bomba ♬ Danger – SoundAudio