PETALING JAYA – ‘Hukum asal bagi berlumba adalah harus ia sama ada yang berlumba itu manusia atau haiwan,’ demikian kata Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Beliau menjawab pertanyaan mengenai hukum berlumba siput yang menjadi tular baru-baru ini.
“Akan tetapi jika ada perkara yang dilarang agama seperti perjudian ketika berlumba, maka hukumnya berubah daripada harus menjadi haram.
“Lagi disyaratkan bagi harus perlumbaan tanpa bertaruh itu ialah tidak ada pada perlumbaan itu menyiksa haiwan yang terbabit.
“Kesimpulannya perlumbaan siput tersebut jika tidak ada disertakan dengan pertaruhan, maka hukumnya tidaklah haram,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Terdahulu, seorang pemuda dari Langkawi, Kedah meraih sehingga 30,000 penonton ketika membuat siaran langsung perlumbaan siput di TikTok baru-baru ini.
Susulan itu, dia menjadi tular sekelip mata dan lebih ramai yang tertarik untuk turut sama membuat perlumbaan seperti itu di laman sosial masing-masing.- KOSMO! ONLINE